SKUAD e-sukan Malaysia kini bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Motorsport Asia Pasifik 2025 yang bakal berlangsung di Sri Lanka dari 26 hingga 28 September ini, dengan empat pelumba sim terbaik negara akan membawa cabaran di pentas antarabangsa.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada Naquib Azlan, 24, yang sekali lagi akan turun dalam kategori Assetto Corsa bagi mempertahankan gelaran juara pemandu yang dimenanginya pada edisi 2023 di Malaysia. Berbekalkan pengalaman luas dan rekod cemerlang, Naquib meletakkan sasaran tinggi untuk mengekalkan dominasi dalam dunia perlumbaan maya.

Naquib Azlan

 

Adiknya, Nabil Azlan, 23, pula akan bersaing dalam kategori iRacing. Pencapaian Nabil sebelum ini cukup membanggakan apabila layak ke separuh akhir dunia di FIA Motorsport Games 2024 selain dinobatkan sebagai E-Motorsports Competitor of the Year pada Anugerah MAM awal tahun ini.

Nabil Azlan

Turut menggalas cabaran negara ialah Taj Izrin Aiman, 26, juara empat kali TOYOTA GAZOO Racing GT Cup Malaysia dan pemenang GR GT Cup Asia 2024. Taj pernah mewakili Malaysia di pentas dunia menerusi GR GT Global Finals di Amsterdam, mengukuhkan reputasinya sebagai pelumba maya kelas dunia.

Taj Izrin Aiman

Mewakili barisan wanita pula ialah ‘Ratu Drift’ negara, Leona Chin, 39, yang akan bergandingan dengan Naquib dalam kategori Assetto Corsa. Leona baru-baru ini menjuarai kategori wanita pada segmen e-sukan Festival of Speed 2025 anjuran MAM, sekali gus membuktikan kewibawaannya dalam arena perlumbaan maya.

Leona Chin

Skuad ini diketuai oleh Alex Yoong selaku pengurus dan jurulatih. Bekas pelumba Formula Satu negara itu menegaskan misi utama bukan sekadar mempertahankan kejuaraan, tetapi juga meneruskan usaha melahirkan lebih ramai bakat muda untuk melonjak ke pentas global. “Motorsport bukan hanya tentang kelajuan, tetapi juga semangat, ketekunan dan keberanian mengejar kecemerlangan,” katanya.

Selain memburu kejuaraan individu, keempat-empat atlet ini juga akan membawa cabaran mempertahankan gelaran Team Championship dalam kategori e-sukan, sekali gus mengekalkan legasi kegemilangan Malaysia di pentas dunia.

Kejohanan tiga hari itu bakal menghimpunkan lebih 100 pelumba dari 25 negara merangkumi disiplin seperti karting, auto gymkhana, cross car autocross dan e-sukan. Dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Esports Integrated, MAM serta Axle Sports, skuad negara diyakini mampu mengulangi kecemerlangan dan terus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.