SASARAN skuad Harimau Muda kendalian Nafuzi Zain cukup jelas menjelang Piala Mandiri B-23 2025 dengan layak ke separuh akhir.
Sasaran tersebut bukan misi mudah buat skuad muda negara, namun Nafuzi yakin anak buahnya mampu memberi saingan di Jakarta nanti.
Sebagai persediaan akhir sebelum bertolak ke Indonesia, skuad B-23 negara akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan tertutup menentang kelab Liga Super iaitu PDRM FC (5 Julai), Melaka United FC (8 Julai) dan Negeri Sembilan FC (11 Julai). Ketiga-tiga aksi ini dianggap penting untuk membina persefahaman pasukan.
Daripada 30 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula 1 Julai ini, Nafuzi menyenaraikan empat pemain berpengalaman termasuk yang pernah beraksi dalam Kejohanan AFF B-23 tahun lalu. Selebihnya merupakan wajah baharu hasil pemantauan daripada lebih 50 pemain berpotensi.
“Gabungan pemain lama dan baharu ini diharap dapat membentuk satu pasukan yang mantap. Kita fokus satu perlawanan pada satu masa, tetapi matlamat kita adalah mara ke separuh akhir,” tegas Nafuzi dalam sidang media.
Beliau turut menjadikan kejayaan skuad senior menewaskan Vietnam baru-baru ini sebagai motivasi tambahan dan menyedari harapan tinggi yang diletakkan penyokong terhadap skuad muda negara.
“Saya tahu ini bukan tugas mudah, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan peminat dengan keputusan yang membanggakan,” tambahnya.