DATANG untuk menang, bukan sekadar beri saingan!

Itu rumusan tegas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen selepas semua wakil perseorangan negara tumbang di pusingan pertama Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2025, semalam.

Ng Tze Yong, Justin Hoh, Leong Jun Hao dan K Letshanaa gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila terkandas awal, sekali gus menamatkan kempen negara dalam acara perseorangan tanpa sebarang wakil ke pusingan kedua.

Jonassen mengakui kecewa dengan prestasi dipamerkan barisan pemain negara, namun dalam masa sama menyifatkan kejohanan ini sebagai medan penting untuk menilai tahap semasa anak buahnya.

“Sudah tentu saya tidak gembira. Kami di sini untuk menang perlawanan badminton, tapi ini juga peluang untuk lihat apa yang kurang dan perlu dibaiki. Saya dapat beberapa maklumat berguna walaupun belum bincang lanjut dengan pemain,” katanya.

Mengulas aksi Tze Yong, Jonassen memuji semangat juang pemain itu walaupun terpaksa menarik diri, dan menyifatkan ia sebagai persembahan terbaik sejak pemain itu kembali daripada kecederaan.

“Dia bermain lebih agresif dan lebih yakin. Tapi hakikatnya, kita masih belum cukup bagus. Dalam sukan ini, kita dalam bisnes untuk menang. Itu yang paling penting,” katanya.

Tambah Jonassen, masih banyak ruang perlu diperbaiki terutamanya dari segi konsistensi dan mentaliti jika mahu melihat pemain negara kembali menjadi pencabar utama di pentas antarabangsa.