Romelu Lukaku #9 of Belgium is challenged by Ramy Rabia #5 of Egypt during the FIFA World Cup 2026 Group G match between Belgium and Egypt at Seattle Stadium on June 15, 2026 in Seattle, Washington. Alex Grimm/Getty Images/AFP (Photo by ALEX GRIMM / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan percaya pasukannya telah menghantar mesej jelas kepada pencabar lain bahawa mereka hadir ke Piala Dunia 2026 untuk bersaing, bukannya sekadar melengkapkan jumlah pasukan bertanding.
The Pharaohs mempamerkan aksi meyakinkan ketika mengikat Belgium 1-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G, malah hampir meraih kemenangan sebelum lawan bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua.
Mesir terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Emam Ashour pada minit ke-20 hasil persembahan bertenaga yang menyaksikan mereka berjaya menandingi kekuatan salah satu pasukan terbaik Eropah.
Belgium akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 apabila Romelu Lukaku memaksa Mohamed Hany menjaringkan gol sendiri sejurus selepas dimasukkan ke dalam permainan.
“Saya bukan orang yang sesuai untuk bercakap mengenai status Mesir. Pemain kami memiliki kualiti tinggi dan kami mempunyai dua daripada pemain terbaik dunia bersama pasukan ini. Mereka memberi motivasi kepada kami.
“Kami pasti bukan datang ke sini sekadar melengkapkan jumlah pasukan. Kemenangan sebenarnya berada dalam genggaman kami hari ini,” kata Hassan.
Mesir mencipta beberapa peluang berbahaya sepanjang perlawanan dan merekodkan 14 percubaan ke arah gol, sekali gus memberikan petunjuk bahawa mereka mampu menjadi pencabar serius dalam kumpulan tersebut.
Menurut Hassan, keputusan seri itu tetap memberikan keyakinan besar kepada pasukannya walaupun mereka terlepas peluang membawa pulang tiga mata penuh.
“Itu adalah keutamaan kami, fokus nombor satu kami. Kami tidak memikirkan perkara lain.
“Namun keputusan seri ini sebenarnya seperti kemenangan. Seri menentang lawan seperti ini, lawan yang hebat. Mereka memiliki pemain bertaraf tinggi,” katanya.
Pengendali berusia 59 tahun itu turut mempertahankan keputusannya mengeluarkan Mohamed Salah ketika perlawanan masih terikat sambil menegaskan kekuatan Mesir bukan bergantung kepada seorang pemain sahaja.
“Kami tidak bergantung kepada seorang pemain tetapi kepada keseluruhan 26 pemain dalam skuad.
“Salah dan Marmoush memberikan segala-galanya. Mereka benar-benar berusaha keras dan sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas pantas,” katanya.
Hassan yang pernah mewakili Mesir pada Piala Dunia 1990 berkata misi pasukannya kali ini bukan sekadar memburu keputusan di atas padang, tetapi turut melibatkan usaha membina semula identiti dan mentaliti skuad kebangsaan.
“Kami mempunyai 120 juta rakyat di Mesir, jadi sudah tentu kami perlu memiliki pasukan yang kuat, mempunyai cita-cita besar dan mewakili semua rakyat itu.
“Saya memberitahu pemain kami perlu mempunyai identiti baharu untuk pasukan kebangsaan.
“Kami cuba membentuk mentaliti pemain, mempersiapkan mereka dan meningkatkan keyakinan mereka adalah sebuah pasukan yang kuat,” katanya.
Mesir akan meneruskan cabaran Kumpulan G dengan berdepan New Zealand sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Iran.