BEKAS juara dunia, Hendrawan, kini telah membuat keputusan untuk kembali ke Indonesia dan tidak akan bergabung semula dengan pemain profesional, Lee Zii Jia.
Sebaliknya, Hendrawan memilih untuk menyertai kelab PB Djarum sebagai jurulatih.
“Saya telah membuat keputusan… Saya akan bekerjasama dengan PB Djarum untuk membantu membangunkan sukan badminton di Indonesia,” kata Hendrawan dalam hantaran Instagramnya.
Hendrawan sebelum ini berkhidmat sebagai jurulatih perseorangan lelaki di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun kontraknya tidak disambung.
Perkembangan ini mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin akan melatih bekas anak didiknya, Zii Jia, yang kini berada di kelab profesional.
Namun, Zii Jia baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau akan berpisah dengan jurulatihnya, Wong Tat Meng, selepas Kejohanan Akhir Jelajah Dunia (World Tour Finals) di Hangzhou, China, yang akan menjadi penampilan terakhir mereka bersama.