PENGARAH Kejurulatihan (Perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui skuad perseorangan wanita baharu yang dibina tampak kecil namun sudah cukup untuk memberi ruang bagi jurulatih menumpukan seluruh tenaga mereka demi pembangunan empat orang atlet tersebut.

Jelasnya, pendekatan berbeza terpaksa diambil memandangkan tahap dan prestasi perseorangan wanita kebangsaan jauh ketinggalan dengan kuasa besar badminton yang lain.

“Untuk perseorangan wanita, kita sekarang memang ada Tan Zhing Yi, Wong Ling Ching yang kita baru rekrut, Siti Norshuhaini Azman dan Oo Shan Zi yang lebih junior lagi.

“Memang nampak skuad ini kecil, tetapi kalau kita lihat dari segi kita dapat menumpukan lebih banyak perhatian dari jurulatih, peluang pertandingan, fasiliti latihan, baiknya hardware dari jurulatih, strength and conditioning punya jurulatih, sparring yang akan kita aturkan.

Siti Norshuhaini ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

“Jadi kita harap dengan pendekatan yang agak lain dari sebelum ini, kita harap kita dapat bloom mereka dan membina generasi yang baru dalam perseorangan wanita.

“Memang kita agak ketinggalan sedikit dan untuk membuat comeback untuk kategori perseorangan wanita. Itulah sebabnya rombakan ini dibuat,” jelasnya.

Tambahnya, sasaran kini terarah kepada Kisona Selvaduray dan Goh Jin Wei (gambar) untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Secara jujur, dia masih belum melihat kelibat pemain lain yang memiliki kemampuan melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada edisi akan datang.

“Kita memang hendak sasarkan untuk Olimpik 2028 kerana secara realitinya Kisona dan Goh Jin Wei yang mungkin akan layak ke Olimpik.

“Secara jujur, peluang kepada pemain baharu ini belum mencapai tahap pemain senior mereka untuk layak ke Sukan Olimpik,” katanya.

Biarpun menyedari risiko besar bakal berlaku, namun Choong Hann menyifatkan ia merupakan langkah terbaik untuk kembali memartabatkan sukan badminton bagi kategori perseorangan wanita yang semakin merudum kebelakangan ini.

“Empat tahun masih belum cukup untuk perseorangan wanita, sebab itu kita memfokuskan lebih kepada Sukan Olimpik 2028. Saya tahu ianya satu pengorbanan dan risiko yang besar.

“Keputusannya kita tidak tahu tapi kita harus mengambil risiko dan melihat impaknya kemudian,” ujarnya.