PERSATUAN Pendidikan Hoki Kuala Lumpur (Hockademy) menyediakan laluan kepada pemain-pemain hoki Bawah-12 tahun yang berbakat untuk menerima latihan di Jepun.

Perkara ini dapat dilakukan menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa, Fine Strategy Inc yang sudah 20 tahun mempunyai hubungan perniagaan antara Malaysia dan Jepun.

Bagi terus mengeratkan hubungan baik dua hala ini, Kejohanan Hoki Piala Hironobu Konda diadakan dengan melibatkan lapan pasukan B-12 tahun dari seluruh negara di Stadium Hoki Tun Razak pada Ahad.

Penasihat Hockademy, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin ketika ditemui Flash Sukan berkata, pihaknya berbesar hati apabila ada syarikat dari Jepun yang ingin memberikan tajaan dan juga membuka peluang kepada pemain Malaysia untuk berlatih di Jepun.

“Program akademi ini adalah kerjasama dengan syarikat dariJepun yang akan membawa pemain-pemain belajar dan bermain hoki di bandar dua bandar Jepun, Miyoshi dan Hinoi.

 

Megat D.Shahriman Zaharudin

“Hasil hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Jepun, kita perlu mengambil peluang dengan syarikat Jepun yang mahu memasuki pasaran Malaysia menerusi sukan dan Hockademy akan menyediakan platform dan laluan baharu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fine Strategy Inc, Hironobu Konda pula berkata kerjasama ini adalah satu jambatan buat Malaysia dan Jepun untuk melakukan pertukaran pelajar menerusi sukan hoki.

“Objektif kami menerusi koloborasi ini adalah untuk membawa kanak-kanak ini dalam program pertukaran pelajar ke Jepun menerusi sukan hoki dimana ianya akan bertindak sebagai jambatan antara Jepun dan Malaysia.

“Di Jepun, banyak bandar yang menjadikan sukan hoki sebagai sukan utama mereka dan ini adalah langkah terbaik kerana sukan hoki boleh menjamin masa depan untuk anak-anak muda yang berbakat dalam sukan ini,” katanya.

 

Pada aksi Piala Hironobu Konda ini, Kelab Hoki Cyberjaya Tigers (CTHC) muncul juara selepas menewaskan Kelab Millenia SK Khas Baling, Kedah dalam perlawanan akhir manakala tempat ketiga menjadi milik kelab hoki SJKT Ladang Dovenby, Sungai Siput, Perak.