HASRAT skuad hoki dalam dewan wanita untuk beraksi di pentas final Piala Asia 2024 kian terpadam apabila Thailand mengatasi Malaysia 2-1 dalam saingan separuh akhir yang berlangsung di Chonburi pada malam Rabu.

Walaupun kem negara telah berhempas-pulas menunjukkan semangat untuk memenangi perlawanan tersebut, namun akhirnya Malaysia tersungkur apabila gol gerakan padang minit ke-27 telah berhasil dibuat oleh pasukan tuan rumah sekali gus membenarkan Thailand mara ke pentas final.

Ketua jurulatih, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi bagaimanapun mengakui bahawa pasukan Thailand mempunyai kualiti permainan yang lebih tinggi daripada Malaysia.

“Secara keseluruhan perlawanan menentang Thailand, kita bermain tidak seperti kita menentang Iran. Thailand satu pasukan yang telah melakukan persediaan lebih awal serta menyeluruh untuk ke Piala Asia berbanding kita. Kita dapat melihatnya daripada cara permainan yang Thailand tunjukkan.

Malaysia dijadualkan menentang Indonesia pada 7:30 malam ini.

“Kita bermain dengan baik, tetapi tidak dalam keseluruhan permainan. Itu kekurangan pada perlawanan menentang Thailand. Bagaimanapun, semangat juang yang tinggi diberikan oleh semua pemain yang kebangkitan yang cuba mereka tunjukkan wajar diberikan kredit.

“Kita akan bersedia untuk menentang pasukan Indonesia malam ini. Kita harap pemain akan bangkit untuk perlawanan seterusnya, kecewa tetap kecewa tetapi kita masih ada lagi satu perlawanan penting untuk kita menang menentang Indonesia,” ujar Rodzhanizam.

Malaysia yang kini berada di kedudukan ranking ke-36 dunia akan membuat perhitungan terakhir dengan Indonesia yang berada di kedudukan ranking ke-18 dunia dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Seperti yang dikatakan Rodzhanizam, perlawanan ini juga amat penting buat Malaysia untuk merebut gelaran Top 3 dalam kempen Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024.