MALAYSIAN Tigress menamatkan saingan kumpulan B, pusingan kelayakan Olimpik Paris 2024 di Valencia, Sepanyol dengan kekalahan besar ketika menentang Great Britain.

Skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim tewas 1-8 di tangan bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik itu, sekali gus menghuni tangga tercorot kumpulan dengan tiga kekalahan berturut-turut.

Begitupun semangat juang pasukan perlu dipuji kerana mempamerkan kesungguhan sehingga wisel penamat selepas Malaysia berjaya menjaringkan gol sulung mereka di kejohanan berkenaan menerusi jaringan padang Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-56.

Nasihin memberi arahan kepada pemiannya pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Great Britain. |Foto FIH

“Pada perlawanan hari ini (semalam), kita bermain dengan sangat baik pada permulaannya, terutama bertemu Great Britain – bekas juara Sukan Olimpik. Sudah tentu ini satu pengalaman berharga terutama kepada pemain muda yang ada.

“Dengan ketiadaan tonggak utama disebabkan kecederaan namun kapten pasukan Juliani (Mohd Din), pemain senior dan remaja dapat bermain dengan baik untuk mengekang Great Britain yang sudah pasti mencari gol yang banyak untuk mendapatkan tempat kedua.

Skuad wanita negara masih belum cukup layak beraksi di pusingan kelayakan Olimpik. | Foto FIH

“Beberapa pemain juga menunjukkan semangat juang tinggi di babak kedua dan kita harus meneruskan semangat sebegitu,” kata Nasihin.

Malaysia membuka tirai kejohanan dengan langkah kiri apabila diratah Sepanyol 7-0 sebelum menjadi mangsa kepada Kanada yang menewaskan skuad negara 3-0.