PEMAIN skuasy wanita negara, S. Sivasangari terus memahat nama di pentas dunia apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia buat kali pertama, selepas mengejutkan bintang Amerika Syarikat, Amanda Sobhy dalam kemenangan straight set yang cukup bergaya.
Beraksi penuh keyakinan di hadapan penonton di Kaherah, pemain kelahiran Kedah itu menampilkan ketenangan luar biasa, menyerap tekanan awal sebelum mengawal permainan dengan gerakan lincah dan pukulan variasi yang memerangkap lawannya 11-8, 14-12, 11-6.
Ini adalah kemenangan kedua Sivasangari ke atas Sobhy tahun ini selepas menewaskan bekas pemain nombor satu AS itu dalam pertarungan lima set di final Gaynor Cup, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasinya yang semakin konsisten sejak kembali daripada kecederaan.
“Saya sangat gembira menang dalam straight set. Amanda pemain yang kuat, apa yang dia lalui menjadikan dia lebih tabah. Tapi saya juga mahu buktikan sesuatu… ini kali pertama saya ke suku akhir Kejohanan Dunia,” kata pemain berusia 25 tahun itu yang kini menghuni ranking kesembilan dunia, satu di bawah Sobhy.
Di suku akhir, Sivasangari akan berdepan pemain ranking keempat dunia dari Amerika Syarikat (AS), Olivia Weaver dengan rekod pertemuan menyebelahi pemain lawan 5-1, namun jaguh negara itu menang pada pertemuan terakhir di Gaynor Cup.
Sementara itu, pemain lelaki negara, Ng Eain Yow terpaksa akur dengan kehebatan pemain nombor satu dunia, Mostafa Asal (Mesir) selepas tewas 0-3 dalam aksi pusingan ketiga. Eain Yow yang turun dengan semangat tinggi cuba bangkit pada set ketiga, namun tetap tidak mampu menyaingi ketajaman pemain Mesir itu.
Asal yang digelar ‘Raging Bull’ terlalu ampuh di bahagian backhand dan bijak mencipta peluang awal untuk menguasai rentak permainan, sekaligus menutup perlawanan dengan kemenangan 11-4, 11-6, 11-7.
Eain Yow, yang kini berada di ranking ke-10 dunia, tetap menerima pujian daripada Asal atas prestasi dan semangat juangnya. Namun bagi Sivasangari, peluang keemasan sudah terbuka luas – dan andai momentum ini diteruskan, langit bukan lagi batasannya.