JURULATIH Sabah FC, Martin Stano menyatakan bahawa keputusan seri 1-1 menentang Sri Pahang FC bukanlah hasil yang diinginkan oleh pasukannya.

Walaupun Sabah FC berjaya mendahului pada babak pertama, pelawat berjaya mencuri kelebihan gol untuk di bawa pulang ke Temerloh.

“Ini bukan keputusan yang kami mahukan dan sudah tentu, kami ingin menang. Kami mahu memiliki kelebihan sebelum perlawanan kedua, terutama di gelanggang sendiri ini.

“Malangnya, pada separuh masa pertama, kami tidak bermain dengan baik walaupun kami berjaya menjaringkan gol dan mendahului 1-0, ia bukanlah sesuatu yang dijangkakan.

“Kami gagal menguasai bola, terlalu terburu-buru, dan banyak melakukan hantaran jauh dan ini bukanlah cara yang kami inginkan,” kata Stano dalam sidang media selepas perlawanan

Stuart Wilkin berjaya menjaringkan gol tuan rumah pada minit ke-9 perlawanan.

Namun, Stano juga mengakui bahawa prestasi anak buahnya pada babak kedua lebih baik, walaupun mereka gagal memanfaatkan peluang yang tercipta.

“Pada separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih baik tetapi kami gagal menukar peluang yang kami cipta menjadi gol.

“Walaupun kami bermain dengan kelebihan seorang pemain, ini adalah apa yang suduah berlaku.

“Tapi kami masih mempunyai peluang, perlawanan seterusnya akan berlangsung di Pahang. Segala-galanya akan ditentukan di sana,” jelasnya

Ditanya mengenai peluang pasukan untuk mencipta kelebihan menjelang perlawanan kedua, Stano optimis anak buahnya mampu memberikan aksi yang terbaik menjelang pertemuan yang seterusnya.

“Itu pasti bukan perlawanan yang mudah kerana semua pemain kelihatan keletihan selepas wisel penamat.

“Tetapi peluang masih 50-50 dan kami boleh bermain dengan baik di sana dan kami boleh menang, tiada yang mustahil,” tambah Stano.

Stano turut memberikan penghargaan kepada semua pemain atas usaha mereka, terutama pada separuh masa kedua, meskipun pasukan gagal mencipta peluang yang jelas untuk menambah gol.

Aksi separuh akhir kedua antara kedua-dua pasukan dijadualkan pada 2 Februari di Stadium Temerloh, pasukan Sabah FC kini perlu mempersiapkan diri untuk mencabar Sri Pahang FC bagi merebut tempat ke final.