SRI Pahang FC berjaya mengikat Sabah FC 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Keputusan ini memberi nafas baharu kepada Sri Pahang FC yang sebelum ini tewas kepada Negeri Sembilan FC.
Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, memuji disiplin tinggi dan semangat juang anak buahnya, yang menunjukkan perubahan mentaliti luar biasa.
Fandi turut menambah bahawa perubahan mentaliti dan disiplin pemain menjadi faktor utama Sri Pahang berjaya mengikat Sabah di gelanggang lawan.
“Alhamdulillah, kami dapat melakukan persediaan di sini selama dua hari, dan itu sangat membantu kerana kami menghadapi kesukaran untuk berlatih di Kuantan akibat musim hujan dan keadaan lapangan yang kurang baik.
“Pemain memberikan yang terbaik hari ini, mereka tekad untuk mendapatkan sesuatu, terutama selepas kekalahan kepada Negeri Sembilan tempoh hari dan mentaliti serta disiplin mereka berubah, dan itu yang membantu kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ketika ditanya mengenai pesanan kepada pemain di separuh masa pertama, Fandi Ahmad menjelaskan, dia ada meminta anak buahnya untuk terus memberikan tekanan kepada pasukan tuan rumah.
“Saya minta mereka terus menekan Sabah kerana kami sedar kami perlu sekurang-kurangnya menjaringkan satu atau dua gol.
“Sabah bermain dengan baik, mereka bijak memintas kawasan tengah kami dan sering menggunakan hantaran panjang, terutama oleh pemain nombor 4 mereka.
“Jadi, di babak kedua, kami cuba menutup ruang mereka dan Alhamdulillah, kami dapat memanfaatkan satu peluang serangan balas yang baik,” katanya lagi.
Fandi juga turut memuji pertahanan pasukan yang lebih solid pada perlawanan ini berbanding aksi sebelumnya.

Pemain sayap Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo berpotensi terlepas peluang beraksi di pentas final Unifi Piala Malaysia 2024/25.
Dalam perlawanan ini, Fandi turut membuat enam perubahan dalam kesebelasan utama, termasuk menyimpan Aguero dan Mykola yang menurutnya, keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan taktikal dan fizikal.
“Kami simpan pemain ini untuk separuh masa kedua dan memberi kepercayaan kepada pemain tempatan seperti Saiful dan Ibrahim.
“Mereka bermain dengan luar biasa hari ini, seperti yang mereka tunjukkan sepanjang kempen Piala Malaysia, termasuk ketika menentang Perak dan Selangor.
“Saya tidak mahu mengubah momentum mereka, dan Alhamdulillah keputusan seri ini sangat baik selepas kekalahan minggu lalu,” jelas Fandi.
Aksi separuh akhir kedua akanberlangsung pada 2 Februari di Stadium Temerloh, halaman sendiri Sri Pahang FC.
Persaingan masih terbuka luas, dan perlawanan kedua dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memburu tempat ke pentas akhir Piala Malaysia.
Dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri, Fandi Ahmad optimis pasukannya mampu melakar keputusan positif dan merebut tempat ke final Piala Malaysia.