KARATEKA negara, C. Shahmalarani menganggap penghargaan diberi Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) sebagai tonik semangat untuk mencatat hatrik emas di Sukan SEA Thailand, minggu hadapan.
Atlet berusia 26 tahun itu mengakui penghargaan berkenaan begitu menyentuh hati kerana tidak ramai melihat pengorbanan dan kerja keras yang dilakukan di sebalik kecemerlangannya di gelanggang.
Shahmalarani, yang membuat penampilan sulung di kejohanan dunia, berjaya meraih perak dalam acara kumite 50kg wanita sekali gus, menjadi petunjuk baik buat skuad karate ke temasya dwi tahunan itu.
Makaf meraikan Shahmalarani, Zakiah Adnan dan Lovelly Anne Robberth dalam satu majlis ringkas berhampiran KLIA, dengan Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM16,000.
Shahmalarani menerima RM10,000 manakala Zakiah dan Lovelly masing-masing diberi RM2,000 dan RM1,000, sementara ketua jurulatih R Sharmendran (RM2,000) dan Norfarhan Nordin (RM1,000) turut menerima ganjaran atas komitmen mereka.
“Memang sasaran besar untuk tahun ini adalah Sukan SEA, dan kami semua sedang membuat persiapan ke arah itu. Manakala Kejohanan Dunia pula hanyalah satu lagi langkah untuk kami, sekadar untuk menguji kemahiran saya dan sebagainya.
“Namun walaupun ia bukan kejohanan yang kami letakkan sasaran, dapat juga mara ke final adalah sesuatu yang cukup bermakna untuk diri saya, satu sejarah untuk legasi saya, untuk nama saya sendiri,” kata Shahmalarani.
Bagi Shahmalarani, penghargaan itu hadir tepat pada masanya kerana ia menyemarakkan keyakinannya menjelang misi memburu emas ketiga berturut-turut di Sukan SEA selepas muncul juara di Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023.