PASUKAN Malaysia tetap menunjukkan karakter dan semangat juang tinggi meskipun tewas 3-1 kepada England dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Stadium Antarabangsa Hoki Madurai.

Dengan keputusan itu, Young Tigers menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga dengan tiga mata, sekali gus mengesahkan slot ke pusingan klasifikasi tempat ke-9 hingga 16.

Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini, memuji usaha tanpa mengalah anak buahnya yang terus memberikan tentangan sengit sehingga tamat permainan.

“Ini satu persediaan yang baik untuk kami menuju aksi klasifikasi nanti. Saya lihat pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dan kekal berdisiplin. Kita akan bersiap sedia untuk menghadapi pasukan berkualiti seperti Australia, England, Afrika Selatan dan Jepun nanti,” katanya.

England bermula garang dengan dua jaringan awal—pukulan sudut penalti Henry Markham pada minit ke-4 diikuti gol padang Michael Royden enam minit kemudian. Namun Malaysia enggan menyerah, bangkit memperkemas permainan dan akhirnya merapatkan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Azimuddin Syakir pada minit ke-42.

Walaupun England kembali menjarakkan kedudukan hasil gol Alex Chihota pada minit ke-57, Young Tigers tetap menamatkan perlawanan dengan intensiti tinggi dan kerja keras sepanjang 60 minit.

Skuad negara kini akan bergerak ke Chennai untuk aksi klasifikasi tempat ke-9 hingga 16 dan dijangka bertemu Afrika Selatan atau Switzerland pada 4 Disember ini di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan.