HANYA enam hari, itulah tempoh yang dimiliki skuad muda wanita negara untuk mempersiapkan diri menjelang Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025, namun ketua jurulatih Cameron Ng tetap optimis dengan peluang pasukannya membina keserasian dan keyakinan menjelang perlawanan pembukaan menentang Kemboja pada 9 Jun nanti.

Seramai 27 pemain dipanggil menyertai sesi latihan pusat yang bermula Ahad lalu di Wisma FAM, dan walaupun masa persiapan dianggap terlalu singkat, Cameron melihat ia bukan penghalang untuk membentuk pasukan yang kompetitif. Faktor utama yang menyuntik keyakinan beliau adalah kecergasan pemain yang masih berada dalam tahap terbaik kerana aktif beraksi di liga negeri masing-masing.

“Persiapan kali ini memang singkat, hanya enam hari, tapi majoriti pemain masih bermain di liga negeri, jadi kecergasan mereka tidak menjadi masalah besar,” ujar Cameron yang lebih menumpukan kepada aspek taktikal dan keserasian berpasukan dalam tempoh terhad ini.

Dalam masa yang singkat itu, fokus utama adalah untuk membentuk persefahaman antara pemain dengan harapan mampu mencipta gandingan mantap ketika beraksi menentang tiga lawan utama – Kemboja, Thailand dan Indonesia – dalam saingan Kumpulan B. Bagi Cameron, cabaran sebenar bukan pada fizikal, tetapi menyatukan corak permainan dalam masa yang padat.

Skuad Malayan Tigress B-19 dilihat sebagai antara pasukan yang mampu mengejutkan lawan, namun keberhasilan mereka dalam kejohanan ini akan bergantung kepada secekap mana mereka dapat menyatu sebagai satu unit dalam tempoh latihan singkat.

Skuad muda wanita negara hanya mempunyai enam hari untuk mempersiapkan diri menjelang Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025. FOTO:FAM

Perlawanan pembukaan menentang Kemboja akan menjadi ukuran awal kepada keberkesanan pendekatan Cameron, sebelum dua ujian getir menanti bertemu Thailand dan Indonesia masing-masing pada 11 dan 13 Jun.

Berbekalkan semangat juang dan motivasi untuk mengharumkan nama negara, barisan muda Malayan Tigress kini bersedia menggalas cabaran dan membuktikan bahawa tempoh singkat bukan alasan untuk beraksi cemerlang di pentas Asia Tenggara.