INSTITUT Sukan Negara (ISN) sedia memberikan perkhidmatan sokongan sains sukan dalam usaha memastikan penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim kembali pulih ke tahap prestasi sebenar.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkhidmatan itu akan diberi percuma sepanjang tempoh pemulihannya.
“Justeru, ISN akan memberikan segala perhidmatan sokongan termasuk fisioterapi apabila diperlukan, secara percuma bagi membolehkan dia kembali pulih secepat mungkin.
“KBS akan bekerjasama dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk memastikan Faisal menerima rawatan yang secukupnya untuk kembali pulih.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan memastikan Faisal Halim menerima bantuan pemulihan sepenuhnya dari Institut Sukan Negara (ISN). ( Foto Akma / Flash Sukan )
“Saya percaya kalau kita ada semua tenaga pakar yang membantu, dia boleh pulih sepenuhnya,” kata Hannah, ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dengan Malaysia Aviation Group (MAG) di Sepang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, satu program berstruktur, khas untuk Faisal untuk dibentuk bagi membolehkan dia kembali beraksi.
“Ia membabitkan fisioterapi, psikologi, strength dan conditioning serta nutrisi. Kita mahu memastikan semua elemen ini dapat dilaksanakan secara berstruktur untuk dia kembali dalam latihan bola sepak.
“Kami akan melakukan analisis terperinci mengenai kecederaan yang dialami pada otot atau kehilangan jisim otot semasa tempoh dia melakukan pemulihan dan dalam tempoh ketiadaan latihan,” kata Faedzal.

Faisal Halim menjadi mangsa jenayah apabila disimbah asid dalam kejadian di sebuah pasar raya dekat Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.
Begitupun, beliau berkata, segala tindakan susulan daripada ISN bergantung kepada data dan siasatan pakar bagi membantu program itu.
Faisal yang juga tonggak utama Selangor FC ketika ini dilaporkan dalam keadaan kritikal, selepas dipercayai disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali dalam kejadian di salah sebuah pusat membeli belah terkemuka di Kota Damansara, kelmarin.