KEJADIAN menimpa penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid perlu ditangani dengan pantas dan pelakunya perlu bertanggungjawab terhadap tindakan itu.

Beberapa atlet kebangsaan berasa tidak senang dengan senario yang berlaku dalam landskap sukan negara ketika ini, dan setiap atlet perlu lebih berhati-hati selepas ini.

Pemain sepak takraw kebangsaan, Muhammad Syahir Rosdi berkata, sebagai atlet sepenuh masa, dia sendiri tidak sanggup berada dalam situasi Faisal dan Akhyar ketika ini.

Sidang media Kementerian Belia dan Sukan bersama Malaysia Aviation Group (MAG) mengenai MHSPORTS. ( Foto Akma / Flash Sukan )

“Saya tidak sanggup (berada dalam situasi Faisal dan Akhyar) kerana kami mencari makan melalui sukan, apabila terpaksa hadapi semua ini, saya tak boleh menerimanya.

“Kami cari makan, menyara keluarga dan ini kerjaya kami dan apa yang berlaku ini memberi kesan kepada semua atlet, kami juga terasa.

“Tambahan pula jika terpaksa berehat selama dua hingga  tiga bulan,” kata Syahir, ditemui pada Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysian Aviation Group (MAG) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Sepang, hari ini.

Sidang media Kementerian Belia dan Sukan bersama Malaysia Aviation Group (MAG) mengenai MHSPORTS. ( Foto Akma / Flash Sukan )

Syahir yang juga tekong utama negara, mengakui pernah menjadi bahan kecaman netizen di media sosial, namun perkara itu tidak terlalu serius sehingga melibatkan ugutan.

“Kecaman, maki hamun kami pernah rasa tapi sehingga kejadian menimpa Faisal dan Akhyar ini sangat melebihi batas.

“Apa yang berlaku kepada mereka (Faisal dan Akhyar) ini pukul, simbah asid tentunya akan menjejaskan prestasi, malah kerjaya kami sebagai atlet juga mungkin musnah.. saya harap peminat atau sesiapa sahaja bersikap lebih rasional.”

Pemain sepak takraw negara, Syahir Rosdi mengakui pernah menerima kecaman teruk di laman sosial namun belum pernah menerima ugutan. Tekong kebangsaan itu menyifatkan insiden menimpa Faisal Halim dan Akhyar Rashid sebagai melampau. ( Foto Akma / Flash Sukan )

Sementara itu, perejam negara, Muhammad Azlan Alias menggesa rakan atlet untuk lebih berhati-hati ketika berada di tempat awam.

“Kami tidak mahu kejadian sebegini berlaku dan saya mendoakan agar Faisal dan Akhyar pulih secepat mungkin,” kata Azlan yang giat melakukan persiapan menjelang kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw Istaf di stadium Titiwangsa, pertengahan bulan ini.

Killer takraw negara, Azlan Alias mendoakan Faisal Halim kembali pulih.  ( Foto Akma / Flash Sukan)

Sementara itu, pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berasakan tiba masanya atlet mengutamakan keselamatan diri.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, tetapi apa yang menimpa Faisal dan Akhyar menunjukkan atlet juga berdepan ancaman yang tidak dijangka,” ujarnya.

Keselamatan atlet kini terancam, kata pelari pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan. (Foto Akma / Flash Sukan)

Minggu lalu, tonggak Harimau Malaya yang kini memperkuat kelab Terengganu FC, menjadi mangsa samun dan dipukul menggunakan senjata besi sehingga mengalami pendarahan pada kepala.

Kelmarin, serangan kedua menimpa pemain bola sepak apabila penyerang Selangor FC, Faisal disimbah cecair dipercayai asid ketika bersama keluarga di sebuah pasaraya terkemuka di Kota Damansara.

Faisal kini dilaporkan kritikal, dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam.