Saingan Liga Malaysia setakat ini tidak terjejas secara signifikan meskipun arena bola sepak negara digemparkan dengan kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain skuad Harimau Malaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata semua penaja masih memberikan keyakinan penuh kepada badan pengelola liga itu walaupun isu berkenaan memberi kesan kepada imej bola sepak negara.
Menurut beliau, keyakinan tersebut dinyatakan oleh penaja ketika majlis berbuka puasa bersama MFL baru-baru ini apabila mereka menyatakan komitmen untuk terus menyokong penganjuran Liga M.
“Berdasarkan majlis iftar bersama penaja sebelum ini, semua (penaja) memberikan keyakinan untuk masih bersama-sama dengan MFL. Jadi, pada ketika ini kami tidak merasakan ada impak besar kepada MFL,” katanya.
Beliau turut menjelaskan sambutan peminat terhadap beberapa kejohanan domestik seperti Piala Malaysia dan Piala Cabaran juga kekal positif setakat ini.
Tambahnya, keadaan tersebut menunjukkan saingan Liga M masih berjalan seperti yang dirancang dengan baki perlawanan musim ini dijangka diteruskan sehingga Mei.
“Saya fikir MFL pun sudah keluarkan kenyataan rasmi, pemain yang terbabit tidak dapat beraksi sehingga tempoh penggantungan yang ditetapkan. Jadi di pihak MFL, kami masih seperti biasa, meneruskan liga seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan yang terlibat dalam kes berkenaan.
Keputusan itu mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM serta penggantungan selama 12 bulan terhadap pemain terlibat.
Susulan keputusan tersebut, MFL sebelum ini mengesahkan tiga pemain Johor Darul Ta’zim iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga M sepanjang tempoh penggantungan.