KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa satu perjumpaan dalam jangka masa terdekat akan diadakan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berikutan isu yang tular baru-baru ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), pihaknya juga menyatakan kekesalan di atas segala kenyataan yang telah dikeluarkan kepada MOM berikutan isu salah faham yang telah terjadi.

Oleh itu, satu inisiatif yang wajar dilakukan oleh KBS akan menjadi penggerak dalam memberi semula kesefahaman antara pihak yang terlibat dalam isu yang sedang membesar ini.

Untuk melihat kronologi isu salah faham, Pesuruhjaya Sukan iaitu Suhardi Alias sebelum ini telah didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman, mahu membatalkan pendaftaran badan induk sukan negara iaitu MOM.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan yang diedarkan berkata, kenyataan berbaur ancaman Suhardi itu telah dirakam dan tersebar di aplikasi WhatsApp, dimana beliau turut menyamakan badan induk terbabit dengan kerajaan Israel.

ARTIKEL BERKAITAN : “MOM jangan mudah melatah, bertenang..” – Suhardi Alias

Suhardi yang mempertahankan dirinya dan enggan tunduk kepada desakan supaya beliau membuat permohonan maaf kepada pihak MOM telah mencetuskan lagi keberangan kepada pihak sana.

Justeru, MOM telah pun menyeru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk terlibat dan campur tangan dalam perkara yang difahamkan telah menjejaskan imej MOM selepas diperlekehkan oleh Suhardi sendiri.

Diharapkan agar kemelut yang berlaku ini dapat didamaikan semula oleh pihak KBS dan membawa kemakmuran dalam dunia sukan di Malaysia juga.