PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden Jalur Gemilang dipegang secara terbalik oleh segelintir penyokong Indonesia ketika aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF bawah 23 tahun (B-23) di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin lalu.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan pihaknya sudah menghubungi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan biadab itu.
“Ya, kami berhubung dengan AFF dan AFC… kami tidak mengambil ringan isu ini dan tidak menyokong sebarang perbuatan sedemikian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 di ibu negara, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mengesahkan pihaknya sudah menghubungi AFF dan AFC.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu turut mencetuskan kemarahan penyokong tempatan yang menganggap tindakan terbabit sebagai satu penghinaan kepada kedaulatan negara.
Tindakan penyokong lawan itu juga berpotensi menyaksikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dikenakan hukuman oleh badan bola sepak serantau atau dunia.
Dalam masa sama, tular di media sosial beberapa rakaman video jelas menunjukkan Jalur Gemilang pegang secara terbalik oleh sekumpulan penyokong tuan rumah yang nyata mencemarkan semangat kesukanan.
Mengulas lanjut, Joehari turut mengesahkan FAM akan mendapatkan nasihat barisan peguam untuk mengambil tindakan terhadap beberapa individu luar negara yang masih lantang mempersoal status pemain warisan Harimau Malaya.