JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan kembali merampas semula tangga teratas Liga Super apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi dramatik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
JDT yang kembali beraksi selepas menempuh cabaran Liga Juara-Juara AFC kelihatan bergelut untuk mengatasi barisan Negeri Sembilan yang beraksi baik dari awal permainan dengan corak berdisiplin yang dilihat berjaya mengekang barisan tengah JDT daripada menetapkan tempo permainan.
Namun gol pada saat-saat terakhir perlawanan oleh Fernando Forestieri memastikan rekod bersih mereka masih kekal manakala ini adalah kekalahan pertama buat Negeri Sembilan.
Beraksi dihadapan 22,224 penyokong yang memberikan satu atmosfera yang cukup menakjubkan, kedua-dua pasukan sering berbalas serangan memberikan satu perlawanan bola sepak yang berkualiti tinggi.
Beberapa peluang terhidang buat JDT menerusi larian deras Arif Aiman tetapi gagal dimanfaatkan oleh Bergson dan Forestieri yang dirantai kemas barisan pertahanan tuan rumah.
Peluang terbaik buat JDT hadir pada minit ke-30 apabila sepakan percuma Fernando Forestieri sedikit melewati tiang gol kanan Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan juga berpeluang untuk mendahului tetapi sering dihampakan dengan ketumpulan penyudah yang mengecewakan meskipun pertahanan JDT dilihat sudah tertewas untuk keputusan separuh masa pertama kekal tanpa sebarang jaringan.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan berpeluang sekali lagi untuk mendahului tetapi sepakan percuma dari luar petak penalti oleh Zaquan Adha sekadar terkena benteng.
Bergson hampir meletakkan JDT di hadapan tetapi voli beliau dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran daripada Arif Aiman tersasar walaupun tidak dikawal.
Syihan Hazmi nyata menjadi watak penting buat Negeri Sembilan selepas berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya Arif Aiman pada minit ke-65.
Masa kecederaan 10 minit yang diberikan pengadil keempat menambah lagi kerancakan permainan dengan JDT menyerang bertubi-tubi dan akhirnya Forestieri berjaya memastikan JDT pulang dengan tiga mata penuh.
Dengan keputusan ini, JDT kembali di tangga teratas dengan 15 mata dari lima perlawanan manakala Negeri Sembilan kedua dengan 14 mata selepas tujuh perlawanan.