ISU dibangkitkan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell berkaitan dua program pembangunan kebangsaan, iaitu Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), berkait rapat dengan pembentukan genetik bola sepak atau lebih tepat, DNA Malaysia.
Dalam dunia biologi, DNA adalah komponen kimia utama kromosom yang menghasilkan gen, iaitu molekul warisan yang boleh mewariskan sifat daripada organisma induk.
Jadi, jika bola sepak negara mamiliki DNA sendiri, maka akan terbentuk falsafah permainan yang boleh diwarisi turun-temurun hingga ke beberapa generasi.
Namun berdasarkan senario ketika ini, dua program pembangunan nasional, NFDP dan AMD berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan sudah tentunya wujud sempadan had yang boleh disentuh badan induk bola sepak kebangsaan, FAM jadi bagaimanakah kita mampu memiliki falsafah bola sepak sendiri?

Fauzi Pilus sokong FAM kendali AMD
Bagi jurulatih berpengalaman, Fauzi Pilus, sekiranya FAM mengambil alih sepenuhnya program pembangunan dan pencarian bakat, seperti NFDP dan AMD, adalah satu perkembangan yang baik.
“Pertama, segala entiti berkaitan bola sepak akan berkait langsung dengan FAM, kerana badan induk ini melibatkan keseluruhan mainstream bola sepak, senang diuruskan dan fokus kepada satu sukan.
“Kita sendiri maklum bahawa MSN sendiri menjaga terlalu banyak jenis sukan, banyak yang perlu diberi perhatian, malah bajet juga perlu diuruskan untuk kesemua sukan berbeza,” kata Fauzi kepada Flash Sukan.
Menurutnya lagi, jika AMD berjaya direalisasikan berada di bawah FAM, beliau yang kini bersama pasukan Klang City Sailors berharap badan induk bola sepak negara itu, mampu diversitikan entiti program pembangunan kepada setiap persatuan negeri (FA).
“Ketika ini boleh dikatakan kebanyakan FA tidak menggerakkan program pembangunan secara progresif, hanya Johor dan Selangor.
“Sekiranya penstrukturan ini disusun semula di bawah FAM, saya pasti ia boleh menyeluruh ke seluruh negara menerusi satu agenda nasional di bawah FAM.
“FAM yang bertanggungjawab melakar roadmap impian ke Piala Dunia, Piala Asia…kerana aspek teknikal sememangnya datang dari FAM termasuklah pelesenan jurulatih.”
Begitupun, Fauzi berkata, jika program pembangunan mahu diserahkan kepada FAM, penyerahan itu hendaklah jelas dan telus antara FAM dengan wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu MSN.
Sementara itu, wartawan akhbar Kosmo! Mohd Fitrie Muhamad berkata, lebih mudah untuk membentuk identiti bola sepak Malaysia sejak peringkat pembangunan lagi, sekiranya AMD berada di bawah FAM.
“FAM adalah ibu kepada bola sepak Malaysia…jika program pembangunan berada di bawah MSN, FAM mungkin terlibat dalam beberapa aspek sahaja dan suara FAM bukan penentu keputusan kerana badan itu dimiliki pihak lain,” kata Fitrie.

Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim mahu kajian menyeluruh sebelum tentukan hala tuju AMD
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim pula mahu semua pihak duduk sama-sama mengkaji secara mendalam sebelum membuat polisi baharu dan menentukan hala tuju AMD.
“Kajian mendalam dengan bantuan pakar, teknikal, ekonomi dan kewangan, kita tidak boleh melaksanakan apa sahaja polisi baharu berdasarkan apa yang terlintas di fikiran, sekarang rasa nak ambil, nanti mahu serahkan kepada pihak lain pula.
“Semua pemegang taruh mesti duduk bersama, ia (AMD) bukan hak FAM dan MSN sahaja, ia adalah hak negara, satu entiti nasional,” kata Zulakbal.
Malah, beliau mahu pandangan bekas pemain kebangsaan turut dikumpul sebanyak mungkin, bukan bergantung kepada satu dua pandangan sahaja sebelum menentukan siapa yang patut mengetuai AMD.