PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kekuatan sebenar apabila membenam Melaka FC 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus membawa bekalan amat selesa ke perlawanan timbal balik.
Penyerang import, Ajdin Mujagic, menjadi mimpi ngeri buat pelawat apabila meledak tiga gol selain terlibat secara langsung dalam tekanan berterusan Harimau Selatan sepanjang perlawanan.
Skuad kendalian Xisco Munoz bermula garang apabila Mujagic membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menggandakan kedudukan hanya tiga minit kemudian, membuatkan Melaka tersentak dan gagal keluar daripada tekanan.

Pasukan pelawat yang dibimbing E. Elavarasan cuba memperkemaskan rentak, namun benteng tuan rumah terlalu kebal untuk ditembusi.
Pada minit ke-32, Irfan Zakaria bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan apabila mengeluarkan bola di garisan gol selepas percubaan Nacho Mendez hampir menghasilkan jaringan ketiga.
Mujagic hampir mencatat hatrik sebelum rehat, namun tandukannya daripada sepakan penjuru Hector Hevel sekadar menggegarkan palang dengan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Melaka menunjukkan reaksi positif dan hampir meraih gol pada minit ke-57, tetapi tandukan Ahmad Shamsaldin hasil hantaran Che Rashid ditepis kemas penjaga gol, Christian Abad.

Seminit kemudian, Mujagic memastikan malam gemilangnya sempurna apabila melengkapkan hatrik menerusi rembatan padu yang menewaskan Haziq Aiman, sebelum pemain gantian Manuel Hidalgo menambah luka pelawat dengan gol keempat pada minit ke-70.
Harimau Selatan terus berpesta apabila Marcos Guilherme mengambil kesempatan terhadap kesilapan Haziq yang keluar dari kotak penalti untuk gol kelima, manakala jaringan Teto Martin selepas itu dibatalkan akibat ofsaid.
Keputusan besar itu meletakkan JDT di landasan terbaik menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat pada 25 Februari ini, dengan Melaka memerlukan keajaiban besar untuk bangkit.