PENGURUS dan Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari teruja untuk turun beraksi menentang PDRM FC pada Rabu dengan satu mata sahaja diperlukan Harimau Selatan untuk muncul juara Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut sejak 2014.

JDT yang masih segar dengan kejayaan layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas mengenepikan cabaran Negeri Sembilan 7-1 menerusi aggregat mahu meneruskan dominasi dalam Liga Super pula dalam satu lagi aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Solari juga mendedahkan bahawa dia mahukan lebih ramai penyokong ke stadium untuk sama-sama meraikan kejayaan dominasi sedekad JDT yang pastinya akan menjadi satu lagi sejarah buat Harimau Selatan.

“Kami begitu teruja untuk bermain perlawanan ini kerana sasaran utama kami sejak awal musim ini adalah untuk muncul juara liga ke-10 berturut-turut untuk kelab besar ini dan kami tidak sabar untuk beraksi dengan semangat yang tinggi.

“Perlawanan ini adalah ilusi setiap pemain dan pegawai sejak dari sesi pra musim dan kami bermain di laman sendiri untuk menang serta mengesahkan kejuaraan ke-10 berturut-turut sekaligus menunjukkan dominasi kami di liga ini.

“Kami berharap mampu muncul juara dan kami tahu ianya tidak akan terjadi tanpa bantuan sokongan daripada penyokong kami dan inilah masanya kami meraikan kejayaan bersama dengan penyokong kami di laman sendiri,” katanya.

Solari juga menegaskan bahawa dia akan tetap menurunkan kesebelasan terbaik bagi menghadapi aksi penting ini kerana setiap perlawanan adalah penting buat pemain meneruskan momentum kemenangan sebelum menghadapi satu lagi perlawanan Liga Juara-Juara AFC.

“Kami akan turunkan pemain terbaik yang ada meskipun ada beberapa pemain mungkin diketepikan kerana kecederaan namun segalanya akan ditentukan selepas sesi pemulihan kerana perlawanan ini penting untuk pemain sebelum kembali beraksi di ACL,” jelasnya.

Sementara itu pengendali PDRM FC, Datuk Yunus Alif pula mengakui tugas sukar menanti para pemainnya di Iskandar Puteri namun dia mahu setiap pemain memberi tekanan kepada lawan.

Datuk Yunus Alif

“JDT sudah berada di tahap yang tertinggi dan kami akan cuba bagi tekanan pada mereka seperti mana yang kita pernah lakukan di tempat sendiri pada pusingan pertama liga sebelum ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sebagai rekod, JDT telah bertemu PDRM FC sebanyak dua kali musim ini dengan kedua-dua perlawanan memihak kepada JDT sama ada di Iskandar Puteri dalam aksi Piala FA mahupun ketika aksi Liga Super di Kelana Jaya.