JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuat keputusan menamatkan musim 2025 lebih awal demi memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan menjelang kalendar 2026 yang dianggap peluang kebangkitan sebenar.

Bintang badminton negara itu, mengakui 2025 menjadi tahun penuh cabaran fizikal dan mental selepas bergelut dengan kecederaan buku lali dan masalah belakang yang membataskan aksinya, terutama selepas aksi terakhir di China Masters pada September lalu.

“2025 has been somewhat of a challenging year and also a learning curve when it comes to managing my physical health,” kata Zii Jia menerusi perkpngsian di akaun Instagram peribadinya.

Beliau menjelaskan ada hari dirinya berada pada prestasi terbaik tetapi ada juga ketika kesan kecederaan lama kembali menghantui sehingga memaksa perbincangan intensif bersama pasukan perubatan untuk jalan terbaik pemulihan.

“After taking account on all the feedbacks, and most importantly listening to my body, I feel it is best to close the chapter on 2025 and focus on the upcoming 2026 calendar,” katanya lagi.

Zii Jia turut menyifatkan musim ini sebagai perjalanan emosi yang sukar tetapi penuh penemuan diri termasuk minat baharunya dalam dunia seni yang tidak pernah disangka.