Penyerang Bayern Munich, Harry Kane percaya semangat juang pasukannya mampu menjadi faktor penentu menjelang aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA menentang Paris Saint-Germain (PSG).
Bayern berdepan laluan sukar selepas tewas 4-5 dalam perlawanan pertama, namun masih memiliki peluang untuk bangkit apabila akan beraksi di laman sendiri di Allianz Arena.
Dalam aksi di Paris, Bayern ketinggalan jauh apabila PSG mendahului 5-2 pada awal babak kedua, sekali gus meletakkan mereka di ambang kekalahan besar.
Bagaimanapun, jaringan pantas Dayot Upamecano dan Luis Diaz berjaya merapatkan jurang, memberi nafas baharu buat wakil Jerman itu menjelang perlawanan kedua.
Kane yang membuka jaringan menerusi sepakan penalti dalam perlawanan tersebut menegaskan peluang kedua-dua pasukan masih seimbang.
“Ia bergantung kepada siapa yang memanfaatkan peluang minggu depan. Bermain di laman sendiri dengan sokongan penyokong, kami harap ia mampu membantu kami melepasi halangan ini,” katanya.
Beliau turut mengakui Bayern sebenarnya memiliki peluang untuk menamatkan perlawanan lebih awal, namun gagal memanfaatkan beberapa kesempatan yang terhidang.
“Kami bangga kerana mampu kembali menjadikan kedudukan 5-4 kerana apabila ketinggalan 2-5 di tempat lawan, ia situasi yang amat sukar. Tetapi kami terus melawan dan kami masih berada dalam persaingan,” katanya.
Pada masa sama, Kane mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pemain England pertama menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut dalam Liga Juara-Juara.
Penyerang berusia 32 tahun itu kini telah mengumpul 13 gol dalam kempen musim ini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling prolifik di Eropah.
Dengan kelebihan tipis dimiliki PSG, aksi timbal balik di Munich dijangka berlangsung sengit, dengan kedua-dua pasukan masih berpeluang melangkah ke final.
Sumber Gambar: FB Bayern Munich