Tan Sri Hamidin Mohd Amin menegaskan laporan audit kualiti yang dijalankan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bukan bertujuan membuktikan pengurusan lama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal, sebaliknya bagi meningkatkan standard pentadbiran badan induk itu mengikut amalan terbaik antarabangsa.

Bekas Presiden FAM itu berkata audit berkenaan dilaksanakan selepas kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) meletakkan jawatan dan FAM sendiri memohon bantuan AFC serta FIFA untuk menilai keseluruhan struktur pentadbiran persatuan.

Menurut beliau, beberapa perubahan yang dicadangkan termasuk melibatkan aspek kewangan, tadbir urus, struktur jawatankuasa serta keahlian gabungan.

“Apa yang dibuat oleh audit kualiti ini adalah mengikut standard tinggi AFC dan FIFA. Ia bukan bermaksud apa yang dilakukan sebelum ini salah.

“FAM menjalankan tugas mengikut statut yang ada ketika itu, tetapi AFC dan FIFA melihat terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan mengikut keperluan bola sepak moden,” katanya.

Hamidin turut menjelaskan antara cadangan utama adalah memindahkan kuasa menandatangani pembayaran daripada pegawai yang dipilih kepada pegawai profesional sepenuh masa seperti Setiausaha Agung dan pengarah berkaitan.

Beliau berkata perubahan tersebut sudah menjadi amalan di FIFA dan AFC bagi memastikan tahap akauntabiliti lebih tinggi dalam pengurusan kewangan.