KEMAMPUAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjulang kejuaraan Masters Indonesia menjadi bekalan terbaik dan suntikan keyakinan menjelang cabaran Seluruh England Mac depan, selepas menamatkan kemarau gelaran awal musim ini.

Pada aksi final di Istora Senayan, Jakarta, Tang Jie-Ee Wei bangkit penuh karakter untuk menewaskan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-17, 21-11 dalam perlawanan tiga set yang mendebarkan.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menyifatkan kejayaan di kejohanan bertaraf Super 500 itu tidak mudah meskipun di atas kertas ia tampak seimbang.

Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto yakin kemenangan di Indonesia buka dimensi baharu buat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

“Ya tentu senang ya walaupun ini Super 500 tapi untuk menang di sini juga tak mudah, awal set pertama Tang Jie-Toh main macam ragu dan tak berani, tapi set kedua dan ketiga semua sudah oke,” katanya ketika dihubungi Flash Sukan.

Nova menegaskan kebangkitan permainan pada dua set terakhir menjadi petanda positif buat pasangan negara menjelang tugasan lebih besar selepas ini.

“Ini modal yang bagus untuk pergi All England, saya harap mereka lebih confident,” katanya yang melihat peningkatan dari sudut mental bertanding.

Mengulas prestasi keseluruhan, Nova mengakui permainan Tang Jie-Ee Wei belum sepenuhnya kembali ke tahap terbaik, namun kejayaan muncul juara memberi impak besar dari segi keyakinan kepada juara dunia itu.

Tang Jie-Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka India dan suku akhir Terbuka Malaysia tahun ini, manakala tewas pada perlawanan pertama Seluruh England, tahun lalu.