KEM badminton negara menerima perkhabaran kurang baik menjelang saingan Sukan Sea Kemboja, apabila Justin Hoh dikhabarkan mengalami kecederaan achilles tendon, ketika menjalani latihan semalam.

Pemain perseorangan lelaki berusia 19 tahun itu bukan hanya terlepas beraksi di Sukan Sea awal bulan depan malah dijangka perlu berehat sekurang-kurangnya setahun.

Pengarah Prestasi Tinggi Badminton Malaysia, Dr Tim Jones mengesahkan hal itu dan nama pemain terbabit terpaksa dikeluarkan daripada skuad badminton negara ke Sukan Sea bulan depan.

“Barisan kejurulatihan akan bermesyuarat untuk menentukan penggantinya di Kemboja,” kata Dr Tim.

Justin kini menghuni ranking ke-54 dunia dan sejak dinaikkan ke skuad senior, dia telah berjaya menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik di tujuh kejohanan berturut-turut selain memenangi satu gelaran di Uganda dan naib juara di Iran.