LEONG Jun Hao enggan menjadikan status juara bertahan milik Alex Lanier sebagai penghalang untuknya mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun minggu depan.
Jun Hao mengakui pemain Perancis itu memiliki kelebihan tertentu, namun yakin persiapan rapi yang dilakukan mampu membantunya melakar kejutan awal.
Lebih mencabar, pemain berusia 25 tahun itu menjadi satu-satunya wakil negara dalam acara perseorangan lelaki sekali gus menjadi tumpuan utama dalam kejohanan tersebut.
“Persediaan saya berjalan lancar mengikut jadual yang dirancang jurulatih dan kami akan bincang strategi terbaik menentang Lanier sebaik tiba di Jepun nanti,” katanya, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Bintang perseorangan Perancis, Alex Lanier juga pemain yang memiliki misteri, melakukan kejutan ke atas setiap pemain pilihan yang dihadapinya pada Terbuka Jepun 2024. |FOTO BWF
Situasi lebih sukar apabila pemain profesional negara, Lee Zii Jia menarik diri daripada kejohanan itu selepas dilaporkan belum pulih sepenuhnya daripada masalah kecergasan.
Bagaimanapun, Jun Hao tidak mahu terus dibelenggu tekanan kerana dia pernah mengejutkan pemain-pemain lebih berpengalaman sebelum ini dan itu menjadi motivasi utamanya.
Ketika ini, prestasi semasanya turut dibantu bimbingan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen yang memberi penekanan kepada kekuatan fizikal dan mental, sekali gus membuatkannya lebih bersedia untuk turun bertarung.