LEE Zii Jia lega jangkaannya berdepan Lin Chun Yi menepati ramalan apabila berjaya menyumbang mata pertama kepada Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan Y, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), menentang Taiwan.

Kemenangan 21-16, 21-13 dalam tempoh 42 minit itu, cukup signifikan selepas gandingan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencicirkan satu mata berharga pada perlawanan itu.

“Setakat ini, nampak semuanya lancar apabila apa yang jurulatih minta saya lakukan, saya dapat keluarkan 80 peratus pada perlawanan, menjadikan strategi dan skill sangat berkesan,” kata Zii Jia.

Lee Zii Jia kini mendahului rekod pertemuan menentang Lin Chun Yi (Taiwan) kepada 2-1.

Menurutnya, kemenangan ke artas Chun Yi yang berada di ranking ke-21 dunia itu, berjaya meningkatkan keyakinannya dan juga rakan sepasukan.

Mempunyai rekod pertemuan seimbang 1-1 dengan Chun Yi, Zii Jia menganggap pertemuan kali ini sebagai perlawanan sukar pertamanya dalam kejohanan.

Namun, gara-gara perlawanan Malaysia-Taiwan tertangguh selama hampir tiga jam, ia hampir merencatkan mood pemain.

“Hampir tertidur menunggu giliran perlawanan (Malaysia-Taiwan), esok kami perlu turun latihan jam 6 pagi, tapi kami tiada pilihan kerana ini adalah acara berpasukan, kita perlu sokong rakan sepasukan.”

Menentang Taiwan adalah perlawanan kedua Zii Jia selepas beraksi ketika pasukan menentang Kazakhstan, semalam.