DALAM cuaca beku Itali, Aruwin Salehuddin menghangatkan semangat kontinjen negara apabila muncul pemain Asia terbaik dalam acara slalom wanita di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, semalam.
Bersaing di Pusat Ski Alpine Tofane bersama 95 atlet dari 57 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC), Aruwin menamatkan dua larian dengan catatan keseluruhan 1 minit 54.82 saat untuk berada di kedudukan ke-44 daripada 53 pelumba yang berjaya melengkapkan saingan.
Dalam perlumbaan yang sarat cabaran teknikal itu, atlet berusia 22 tahun berkenaan berjaya menewaskan tiga lagi wakil Asia yang menamatkan saingan, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai terbaik benua dalam acara berprestij tersebut.

Pingat emas dimenangi bintang Amerika Syarikat, Mikaela Shiffrin dengan masa 1:39.10 saat, diikuti Camille Rast dari Switzerland dan Anna Larsson dari Sweden, namun bagi Malaysia, pencapaian Aruwin membawa makna lebih besar daripada sekadar kedudukan.
Ini merupakan penampilan kedua berturut-turut Aruwin di Olimpik Musim Sejuk, selepas mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara yang layak ke temasya itu. Konsistensi tersebut memperlihatkan perkembangan positif sukan musim sejuk Malaysia yang sebelum ini dianggap asing bagi negara beriklim tropika.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Norza Zakaria, menyifatkan pencapaian itu sebagai satu detik membanggakan buat keluarga Olimpik Malaysia, sambil memuji Aruwin yang muncul pelumba terbaik dalam kalangan empat atlet Asia yang berjaya menamatkan perlumbaan.
Di tengah dominasi kuasa besar ski dunia, Aruwin membuktikan bahawa atlet Malaysia mampu berdiri sama tinggi di pentas global, satu langkah kecil di atas salji, namun satu lonjakan besar buat sukan negara.