PEMAIN pertahanan Chonburi FC, Junior Eldstal mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Thailand itu.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Instagramnya, pemain berusia 31 tahun ini memaklumkan untuk menukar haluan baharu dalam kariernya.
Junior menjadi watak penting buat pasukan kendalian S. Pobprasaet itu sejak dari musim lalu apabila seringkali berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Kredibiliti Junior untuk beraksi pada pelbagai posisi pertahanan dalam sistem yang berlainan telah memberi kelebihan buatnya untuk menjadi pilihan utama.
Pemain yang pernah menyarung jersi JDT ini baharu sahaja pulih daripada kecederaan telah beraksi sebanyak 20 perlawanan setakat ini.
Malah, dia turut berjaya menjaringkan satu gol dan membawa pasukan untuk menduduki tangga ke-7 Liga 1 Thai pada musim ini.
Kontrak Junior juga tamat pada awal bulan Jun ini sekaligus menimbulkan tanda tanya ke mana dia akan membawa diri bagi fasa berikutnya.
Pemain kelahiran England-Malaysia ini sedang menjalani latihan pusat bersama Harimau Malaya untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia Jun ini.