DALAM dunia bola sepak moden, teknologi sering jadi senjata rahsia — tapi siapa sangka kecerdasan buatan seperti ChatGPT boleh bantu ubah nasib sebuah pasukan? Itu yang berlaku kepada ketua jurulatih Seattle Reign, Laura Harvey, yang mengakui menggunakan ChatGPT untuk mendapatkan idea taktikal musim ini — dan hasilnya, pasukannya kini berada di tangga keempat liga!

Menurut laporan Reuters, Harvey yang pernah membimbing Arsenal berkata beliau mula bereksperimen dengan ChatGPT ketika pra-musim, bertanya tentang strategi dan formasi terbaik untuk menghadapi pasukan-pasukan dalam National Women’s Soccer League (NWSL). Jawapan yang diterima mengejutkannya — ChatGPT mencadangkan supaya Seattle menggunakan formasi back five menentang dua pasukan tertentu.

“Saya tak bergurau… saya ikut cadangan itu. Saya beritahu staf kejurulatihan dan mereka macam, ‘menarik juga.’ Kami cuba, buat kajian mendalam dan akhirnya kami menang,” kata Harvey sambil ketawa dalam satu sesi podcast Soccerish.

Formasi back five — dengan tiga pertahanan tengah dan dua pemain sayap bertahan — biasanya digunakan oleh pasukan yang mahu lebih kukuh di bahagian belakang. Namun bagi Harvey, cadangan daripada ChatGPT itu menjadi titik perubahan yang tak disangka. “Kami tak pernah guna sistem tu sebelum ni, tapi selepas ubah taktikal berdasarkan saranan itu, semuanya menjadi,” jelasnya.

Seattle Reign yang sebelum ini menamatkan musim lalu di tangga kedua tercorot kini bangkit menduduki tempat keempat dan berpeluang ke saingan playoff.