PEMILIK Manchester City, Sheikh Mansour, terus mengembangkan empayar pelaburannya dengan membeli sebuah ladang kuda terkenal dan sebuah rumah mewah di Normandy, Perancis.
Menurut media antarabangsa, transaksi bernilai sekitar RM140,000,000 itu disahkan pada 31 Disember oleh peguamnya, Edouard Vitry, melalui syarikat Al Wathba Stud yang dimilikinya.
Ladang tersebut, Le Haras de Fresnay le Buffard, adalah sebuah ladang kuda yang ditubuhkan pada tahun 1903 dan terkenal sebagai pengeluar kuda lumba juara dunia.
Selain itu, ladang ini juga mempunyai sejarah panjang dan pernah dimiliki oleh penternak terkemuka seperti Marcel Boussac dan Stavros Niarchos.
Sheikh Mansour juga memperoleh rumah mewah 16 bilik di Neuvy-au-Houlme, wilayah Orne, yang dibina pada abad ke-18 telah menjalani pengubahsuaian penuh pada tahun 2015 untuk menggabungkan elemen klasik dan moden.
Hartanah ini meliputi kawasan seluas 240 hektar, termasuk lebih 200 hektar padang rumput untuk kuda dan 12 hektar taman indah.
Pembelian ini memperkukuhkan pengaruh Sheikh Mansour dalam dunia kuda global, sejajar dengan minat mendalamnya terhadap sukan lumba kuda.
Namun, pembelian ini berlaku pada saat Manchester City sedang menghadapi musim yang mencabar dan pasukan tersebut menerima kritikan atas prestasi tidak konsisten dengan peluang untuk merebut gelaran liga semakin sukar.
Manchester City dijadualkan menentang West Ham pada Sabtu, memberi peluang kepada pasukan untuk memperbaiki prestasi dan menghidupkan kembali semangat juang mereka.