Hasrat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah lebih jauh pada Swiss Open tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Singapura, Jason Teh di Basel, awal pagi tadi.

Juara All England Open Badminton Championships 2021 itu tewas 12-21, 14-21 dalam tempoh 28 minit sekali gus menamatkan kemaraannya pada kejohanan bertaraf Super 300 tersebut.

Kekalahan itu turut menangguhkan usaha pemain berusia 27 tahun itu untuk kembali menjulang gelaran dalam Jelajah Dunia BWF selepas kali terakhir muncul juara di Australian Open pada 2024.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki, Justin Hoh meneruskan cabaran selepas bangkit mencatat kemenangan dramatik ke atas pemain Perancis, Arnaud Merkle dengan keputusan 20-22, 21-16, 21-17.

Dalam saingan perseorangan wanita, Wong Ling Ching turut memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Taiwan, Huang Yu-hsun 21-14, 21-9 dalam tempoh 29 minit di St. Jakobshalle.

Kemenangan tersebut menyaksikan Ling Ching mengekalkan rekod sempurna ke atas pemain ranking ke-31 dunia itu dengan empat kemenangan daripada empat pertemuan sejak kali pertama mereka bertemu di Kaohsiung Masters 2023.

Malaysia juga masih mempunyai wakil dalam saingan beregu apabila tiga pasangan negara berjaya melangkah ke pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Basel itu.

Dalam acara beregu campuran, gandingan Jimmy Wong dan Lai Pei Jing menempah tempat ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pasangan Denmark, Rasmus Espersen dan Amalie Cecilie Kudsk 21-18, 22-20.

Pasangan negara itu dijadual berdepan pilihan ketiga dari Indonesia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang memiliki rekod pertemuan 1-0.

Dalam acara beregu lelaki pula, gandingan Aaron Tai dan Kang Kai Xing akan berdepan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnado dan Bagas Maulana.

Satu lagi wakil negara, Nur Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong pula dijadual bertemu pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun dan Pakkapon Teeraratsakul dengan rekod pertemuan memihak kepada pasangan Malaysia itu 2-1.