LEGENDA sukan permotoran negara, Karamjit Singh, kini dihambat masa,bukan sahaja di litar rali, tetapi juga dalam usaha mencari dana RM160,000 bagi membolehkannya bersaing dalam Kejohanan Rali Malaysia (MRC) musim ini.

Juara kebangsaan sebanyak 17 kali itu berhasrat memburu gelaran ke-18, namun kekangan kewangan menjadi halangan utama untuk merealisasikan impiannya.

Pelumba yang diberi jolokan “The Flying Sikh” itu berkata, MRC 2024 akan melibatkan empat pusingan, dengan kos kira-kira RM40,000 bagi setiap pusingan.

Pusingan pertama dijadualkan berlangsung pada awal Ogos, memberikannya tempoh kurang sebulan untuk mendapatkan tajaan yang diperlukan.

“Selalunya saya guna wang sendiri, tetapi kali ini memang susah sikit sebab kosnya agak tinggi. Namun, saya tidak pernah berputus asa dan akan terus berusaha sehingga ke saat akhir untuk mencari penaja,” kata Karamjit yang kini berusia 63 tahun, membuktikan semangat juangnya masih membara.

Karamjit dalam perlumbaan rali bersama Proton Gen.2 | FOTO Instagram Karamjit Singh

Pada musim lalu, Karamjit berjaya memenangi dua daripada tiga pusingan yang disertainya, dan bagi menghadapi saingan musim ini, Karamjit akan terus bergantung pada jentera kesayangannya, Proton Gen 2, biarpun sedar jentera itu sudah “letih” dan tidak boleh dipaksa ke tahap maksimum.

Selepas kehilangan pembantu juru arahnya yang juga sahabat karib, mendiang Jagdev Singh, beberapa tahun lalu, Karamjit kini akan bergandingan secara bergilir dengan dua juru arah berpengalaman dari India, iaitu Musa Sherif dan Vivek Ponnusamy yang pernah berkerjasama pada kejohanan antarabangsa sebelum ini, termasuk ketika menjuarai Rali Asia Pasifik.

Karamjit kini merayu kepada mana-manaj syarikat korporat atau individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanannya dalam memburu kejuaraan ke-18.