SKUAD beregu negara lebih menyerlah berbanding perseorangan apabila menyumbang dua kejuaraan dalam saingan di Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2025 di Dewan Wawasan, Perlis semalam.
Gandingan Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan membuka tirai kemenangan negara selepas menjuarai acara beregu campuran, sebelum gandingan Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu menyusul dengan kejuaraan beregu perempuan.

Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan tidak gentar berdepan pilihan utama Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea ketika merangkul kejuaraan beregu campuran.
Ziheng-Noraqilah, pilihan kedua kejohanan, membuktikan kejayaan mereka di Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun awal tahun ini bukan nasib semata-mata apabila sekali lagi menewaskan pasangan pilihan utama Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea dalam pertarungan tiga set yang memakan masa 54 minit.
Pasangan muda berusia 18 tahun itu bangkit selepas kehilangan set pertama 20-22, dengan menunjukkan ketenangan dan kematangan permainan untuk memenangi dua set berikutnya 21-15, 21-12.

Dania Sofea Zaidi menebus kehampaan apabila merampas satu gelaran ketika bergandingan dengan Low Zi Yu dalam beregu wanita.
Ziheng hampir mencipta kejayaan berganda apabila turut mara ke final beregu lelaki bersama Tan Zhi Yang, namun tewas tipis kepada pilihan ketiga dari Indonesia, Alexius Ongkytama Subagio-Aquino Evano Keneddy Tangka 21-18, 19-21, 20-22.
Sementara itu, Dania Sofea menebus kehampaan dalam acara beregu campuran apabila tampil cemerlang dalam acara beregu wanita bersama Zi Yu, yang juga rakan sepasukannya dalam skuad remaja Johor.

Loh Zhiheng terpaksa berpuas hati sebagai naib juara beregu lelaki, ketika bergandingan dengan Tan Zhi Yang.
Bergelar pilihan utama dan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Remaja tahun lalu, mereka tidak memberi peluang kepada pasangan Thailand, Khanaphon-Deearom Thanaphon apabila menamatkan perlawanan akhir dalam masa 36 minit dengan kemenangan straight set 21-11, 21-19.
Dalam acara perseorangan, wakil Malaysia gagal menyerlah apabila gelaran perseorangan lelaki dimenangi pemain Hong Kong, Lam Ka To, manakala Tonrug Saeheng dari Thailand merangkul kejuaraan perseorangan wanita.