KEMENTERIAN Belia dan Sukan menyambut baik tawaran pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sudi menawarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai gelanggang Harimau Malaya.

Menterinya,  Hannah Yeoh menjelaskan Tunku Ismail sememangnya banyak berjasa dalam industri sukan negara khususnya bola sepak.

“KBS menyambut baik cadangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang rasmi Harimau Malaya.

“Semestinya kita menyambut baik tweet TMJ ( mengenai tawaran stadium) kerana TMJ banyak membantu KBS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Al-Ikhsan Sports x The Messi Brand di Football Republic, Sunway Pyramid, pada Jumaat.

Tunku Ismail sebelum itu memaklumkan kesudiannya memberikan kebenaran kepada skuad kebangsaan menggunakan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri sebagai tuan rumah Harimau Malaya sementara menunggu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) siap diselenggara.

Tawaran ini disuarakan beliau selepas meninjau sesi latihan skuad kendalian Kim Pan-gon di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Khamis.