KETUA jurulatih Thailand, Alexandre Polking gembira dengan penganjuran konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana Malaysia kehilangan ribuan penyokong yang mampu mengganggu mental barisan pemainnya.

Penyokong Harimau Malaya sememangnya terkenal dengan sorakan yang menggerunkan pihak lawan setiap kali bertandang ke Bukit Jalil namun kali ini jumlah itu berkurangan sebanyak 21,000 apabila struktur pentas konsert telah melalui proses pembinaan.

Polking turut menjelaskan bahawa kekuatan mental adalah elemen utama untuk memenangi perlawanan ketika sudah memasuki fasa separuh akhir dan dia percaya anak-anak buahnya sudah bersedia selepas apa yang mereka hadapi ketika berkunjung ke Jakarta.

 

Dia turut memuji pengendali Malaysia, Kim Pan-gon yang dianggap sebagai seorang jurulatih yang baik dan berpengalaman serta faham dengan proses bola sepak moden yang diperlukan oleh negara-negara di Asean.

“Saya akui kami sedikit bernasib baik dengan penganjuran konsert di sini kerana akan mengurangkan tempat duduk sebanyak 21,000 namun ianya masih akan menjadi satu perlawanan yang sukar buat kami kerana suasana di stadium ini sememangnya hebat serta ianya masih satu angka yang ramai untuk memberikan sokongan.

“Apa yang berlaku di Indonesia adalah tidak normal, apa yang normal adalah di sini begitu juga di Thailand dan saya percaya perlawanan di Indonesia adalah pemangkin buat kami untuk terus lebih kuat dari segi mental selepas kami berhadapan dengan penyokong tuan rumah dan juga selepas menerima kad merah.

“Jurulatih Malaysia sangat berpengalaman dan dia faham gambaran bola sepak yang lebih besar kerana proses yang dilalui di Korea Selatan dan atas sebab itu juga perlawanan menentang Malaysia sentiasa sukar,” katanya ketika sidang media pra perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Polking juga tidak pernah merasakan Malaysia akan turun dengan skuad yang tidak mantap kerana baginya siapa pun yang diturunkan akan membawa sifat perjuang dalam diri mereka dan ini seolah-olah DNA yang ada pasukan Harimau Malaya.

Thailand perlu menang ke atas Malaysia jika ingin mempertahankan kejuaraan Piala AFF dan mereka dijangka berhadapan tugas berat apabila beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya.