TUJUH kelab yang bertanding dalam Liga Super Malaysia disahkan lulus perlesenan kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membolehkan mereka beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elite dan Liga Juara-Juara AFC 2 musim 2024-25.

Menurut senarai yang dikeluarkan AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Sabah FC, Perak FC dan Penang FC telah disahkan mempunyai lesen kelab AFC dengan empat dari tujuh pasukan ini akan membawa cabaran Malaysia di peringkat Asia dan Asean.

JDT akan bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC Elite manakala Selangor akan bermain dalam Liga Juara-Juara AFC 2 dan Kuala Lumpur City FC serta Terengganu FC akan membawa cabaran dalam Shopee Cup 2024-25 yang bakal bermula pada September 2024.

Senarai tujuh kelab yang mendapat lesen AFC.

Sabah FC sebelum ini pernah bersaing di Piala AFC 2023-24 hingga ke peringkat separuh akhir Zonal Asean manakala pujian harus diberikan kepada Perak FC dan Penang FC yang memastikan mereka mempunyai lesen di peringkat Asia meskipun hanya beraksi di liga domestik.

Enam kelab lagi, Kedah Darul Aman FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuching City FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC masing-masing tidak melepasi syarat kelayakan dan perlu melakukan permohonan baharu untuk pertandingan musim 2025-26.

Jika dilihat dari konteks Asean pula, Kemboja mempunyai 10 kelab berlesen, Indonesia dengan sembilan, Laos satu kelab, Myanmar dengan 15 kelab, Filipina mempunyai lima kelab, Singapura tiga, Thailand lapan kelab dan Vietnam dengan sembilan kelab.

Kelulusan beraksi di Asia membuktikan betapa seriusnya pengurusan pasukan dalam memastikan kelab mampu pergi lebih jauh dengan bersaing di peringkat antarabangsa sekaligus mampu meningkatkan kualiti bola sepak dan liga tempatan.

Kejohanan kelab Asia juga kini menawarkan pulangan wang tunai yang lumayan buat pasukan dengan USD300,000 untuk penyertaan di Liga Juara-Juara AFC 2 manakala USD800,000 untuk penyertaan di Liga Juara-Juara AFC Elite.