SKUAD Malaysia 7s Tigers bersiap sedia membawa cabaran negara dalam Kejohanan Asia 7s yang akan berlangsung di EV Arena, Elmina, Shah Alam bermual 10 hingga 13 Oktober ini.
Pasukan ini akan diketuai oleh tiga bekas pemain kebangsaan yang memiliki kualiti tersendiri dalam arena bola sepak negara, iaitu Indra Putra Mahayuddin, Razman Roslan, dan Abdul Manaf Mamat.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama India, Filipina, dan Hong Kong. Skuad bimbingan jurulatih Sulaiman Hussin, berjanji akan memberikan persembahan terbaik dalam format bola sepak kecil yang kini semakin popular di Asia.

Pengurus pasukan Malaysia 7s Tigers, Shahrizin Shaharudin.
Menurut pengurus pasukan, Shahrizin Shaharudin, pemilihan bekas pemain kebangsaan dalam skuad ini bukan sekadar gimik, sebaliknya yakin bahawa pengalaman luas yang dimiliki oleh Indra Putra, Razman, dan Manaf Mamat akan membawa kelebihan besar untuk Malaysia.
“Mereka pernah menjadi wira negara dalam bola sepak kebangsaan, kini mereka ingin membuktikan bahawa mereka masih relevan dalam format permainan kecil ini,” kata Shahrizin penuh yakin.
Razman Roslan, yang pernah menjulang trofi Piala AFF bersama skuad Harimau Malaya pada 2010, akan mengetuai pasukan sebagai kapten.
Sementara itu, Indra Putra dan Manaf Mamat dijangka menjadi tonggak utama dalam serangan dan bahagian tengah pasukan.

Razman Roslan, akan mengetuai pasukan Malaysia 7s Tigers di Kejohanan Asia 7s 2024.
Malaysia akan memulakan kempen mereka dengan perlawanan menentang India pada 6.00 petang, diikuti pertemuan dengan Filipina pada jam 10.00 malam pada 10 Oktober.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan menyaksikan Malaysia berentap dengan Hong Kong pada 11 Oktober, jam 4.30 petang.
Dengan tempoh perlawanan yang hanya berlangsung selama 40 minit, dengan 20 minit setiap separuh masa tanpa henti, Kejohanan Asia 7s ini bakal menjanjikan aksi pantas dan penuh intensiti.
Malaysia akan memulakan kempen mereka dengan perlawanan India, disusuli filipina di sebelah malam dan menentang Hong Kong pada esoknya.
Format bola sepak ini menggunakan gabungan peraturan futsal dan bola sepak padang, namun dimainkan di padang yang lebih kecil, menjadikan setiap perlawanan lebih dinamik dan mencabar.
Ini adalah kali kedua Kejohanan Asia 7s dianjurkan selepas edisi sulung di Manila pada 2023, yang dimenangi oleh Jepun selepas mengalahkan India 3-2 dalam format pusingan robin.