PERMULAAN yang baik bagi acara walking football wanita apabila percubaan pertama menyertai kejohanan di luar negara meraih perhatian yang positif.

Berlangsung di Bangkok, Thailand minggu lalu salah satu pasukan wanita negara yang diwakili dari kelab Women Social Football (WSF) Malaysia berjaya merangkul trofi juara pada Kejohanan Walking Football International.

Skuad WSF Malaysia yang lebih kurang sebulan menubuhkan pasukan untuk ke kejohanan ini berjaya mencatat keputusan yang baik sepanjang tiga perlawanan berlangsung bertemu dua kelab dari Malaysia dan pasukan wanita Sepanyol sebelum layak ke final.

Kehadiran ke Bangkok bukanlah untuk meraih kejuaraan semata-mata, tetapi pengalaman untuk bermain walking football ini menjadi keutamaan memandangkan sukan ini masih baharu di Malaysia.

Aksi final WSF Malaysia bertemu N9WFC

Namun dengan semangat dan pengalaman rata-rata pemain WSF yang berkecimpung dalam sukan futsal sebelum ini banyak membantu pasukan mudah menyesuaikan diri dengan peraturan tegas terutama dari segi pergerakan kaki (tidak boleh berlari) serta peraturan jarak setiap pemain dengan lawan.

Salah seorang pemain Ainsha mengakui, betapa bangganya menjulang nama Malaysia di luar negara biarpun hanya beberapa pasukan yang beraksi kali ini.

“Sepanjang bergelar pemain futsal kelab, inilah kejayaan terbesar saya, dapat mewakili Malaysia, lebih-lebih lagi dalam acara baharu, walking football ini. Mewakili rakan-rakan yang lain, trofi kemenangan ini dianggap berbaloi dengan pengorbanan kami semua yang hadir ke Bangkok dengan inisiatif sendiri.

Sebanyak 10 pasukan bertanding termasuk pasukan wanita.

“Saya berharap WSF Malaysia akan terus menaikkan lagi nama walking football ini, supaya ia terus berkembang dan lebih ramai golongan wanita yang berusia 40 ke atas terus aktif,” kongsinya yang beraksi di posisi penjaga gol.

Sementara itu, kapten pasukan  Jamy AJ yang juga pengasas WSF Malaysia berkata, kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus aktif  memperkenalkan walking football kepada penggiat sukan yang masih lagi tercari-cari sukan yang sesuai dengan usia mereka.

“Kami merancang untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak yang ingin menceburi sukan ini disamping mencari pemain-pemain yang berpotensi untuk mewakili pasukan serta negara ke pertandingan-pertandingan akan datang (baik di dalam negara mahu pun luar negara),” ujarnya.

Kejayaan julung ini pastinya akan terus menjadikan Walking Football WSF SC Malaysia sebagai motivasi dan semangat untuk pasukan terus berusaha bagi menyertai beberapa kejohanan antarabangsa tahun depan.