SEBANYAK lapan pasukan telah mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam pertandingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2025 yang dijadual berlangsung dari 8 Mac hingga 13 Julai 2025.
Ia terdiri daripada enam pasukan Divisyen 1 musim lalu iaitu juara bertahan – Johor Darul Ta’zim, Selangor FC, Pahang Rangers FC, Sabah FA, TOT United FC dan KL City FC serta dua pasukan dari Divisyen 2 musim lalu iaitu naib juara – Kedah dan pasukan tangga keempat, Malaysian University FT.
“Sama seperti musim lalu yang mana saingan Divisyen 1 ini disertai lapan pasukan dan dijalankan secara liga dua pusingan (home & away), Pusingan Pertama (Hari Perlawanan 1 hingga 7) akan berlangsung dari 8 Mac hingga 11 Mei 2025 dan diikuti Pusingan Kedua (Hari Perlawanan 8 hingga 14) dari 24 Mei hingga 13 Julai 2025,” menurut kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.
Setiap pasukan MPFL Divisyen 1 2025 dibenarkan mendaftar maksimum dua pemain import iaitu sama seperti musim lalu, selain wajib menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga pemain Bawah 19 Tahun (lahir pada atau selepas 1 Januari 2006).