PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mengakui kepentingan penyokong dalam perlawanan bola sepak dan dia menegaskan tiada apa yang mampu mengubat keletihan mereka berebut bola di dalam padang selain dari dukungan penyokong yang hadir ke stadium.

JDT bakal berhadapan Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa dan dilaporkan lebih 30,000 tiket sudah terjual dan malam gemilang Asia bakal kembali di Iskandar Puteri seperti ketika aksi menentang Shanghai Shenhua pada awal Oktober lalu.

“Kami sangat bersemangat untuk bermain di stadium hebat ini dihadapan penyokong sendiri dan kami mahu tunjukkan pada mereka apa yang kami mampu lakukan dalam kejohanan ini.

Jordi Amat gembira dengan sokongan penyokong-penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim

“Kehadiran penyokong sangat penting kerana kami dapat rasakan sokongan mereka di belakang kami. Keletihan kami terubat apabila tahu kami mendapat sokongan penyokong dan kami harap dapat berikan senyuman yang lebar kepada mereka dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Pemain antarabangsa Indonesia itu yang baru pulih dari kecederaan bersedia sekiranya khidmatnya diperlukan jurulatih dan sentiasa akan menberikan segalanya kepada pasukan dan dia selesa digandingkan dengan sesiapapun untuk mengawal benteng Harimau Selatan.

“Saya baru pulih dari kecederaan tetapi sentiasa bersedia untuk diturunkan dan saya boleh bermain dengan semua pemain pertahanan yang ada kerana kami bermain sebagai satu pasukan.

Penyokong JDT sentiasa berada di belakang pasukan

“Kami hormat Ulsan HD sebagai salah satu pasukan terkuat di Korea meskipun mereka di tangga terbawah liga ketika ini. Tetapi kami percaya dengan diri kami dan mampu mencipta kemenangan dan hanya fokus kepada pasukan kami sahaja,” jelasnya.

Jordi sedar akan cabaran yang bakal dihadirkan Ulsan HD namun dia yakin para pemain JDT juga mampu melakar satu lagi keputusan positif keatas lawan dari Republik Korea itu seperti yang dilakukan pada 2022 dan 2023.