DI sebalik kejayaan merangkul Piala Agong 2026, adanya susuk tubuh yang tidak pernah mengenal erti mengalah dalam memimpin dan memastikan sukan ragbi di Johor kekal di prestasi tertinggi.
Dato’ Hj Mohd Noorazam Osman, itulah nama insan yang sudah berada selama 18 tahun di barisan hadapan pembangunan ragbi Johor.
Sebagai Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), beliau bukan sahaja bertanggungjawab mengurus perjalanan pasukan, malah menjadi individu yang mencorakkan hala tuju dan visi jangka panjang bagi memastikan Johor terus muncul sebagai kuasa besar ragbi negara dan perkara ini juga didorongi sokongan daripada Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Di bawah kepimpinannya, Johor tidak sekadar membina sebuah pasukan yang kompetitif malah melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk memperkukuh program pembangunan pemain, meningkatkan penggunaan sains sukan, menjalinkan kerjasama antarabangsa serta membawa masuk barisan pemain dan jurulatih berkualiti bagi memperkasakan skuad negeri.
Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Johor berjaya menamatkan penantian untuk menjulang Piala Agong 2026.
Kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa perancangan yang rapi, pelaburan yang strategik dan kepimpinan yang berwawasan mampu mengangkat prestasi sesebuah pasukan ke tahap tertinggi.
Bagi Noorazam, kejayaan bukan sekadar diukur menerusi trofi yang dimenangi, tetapi juga melalui pembangunan ekosistem ragbi Johor yang mampan.
Beliau sentiasa menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai bakat tempatan, memperkukuh akar umbi dan menyediakan platform terbaik agar pemain Johor mampu bersaing di pentas kebangsaan serta antarabangsa.
Kini, kejayaan Piala Agong 2026 bukan sekadar menjadi pencapaian sebuah pasukan, malah menjadi simbol hasil dedikasi seorang pemimpin yang sanggup berkorban masa, tenaga dan komitmen demi mengangkat martabat ragbi Johor ke satu tahap yang lebih tinggi.