Paraguay’s goalkeeper #12 Orlando Gill celebrates with teammates after winning the penalty shootout of the 2026 World Cup round of 32 football match between Germany and Paraguay at the Boston Stadium in Foxborough on June 29, 2026. (Photo by CHARLY TRIBALLEAU / AFP)
Paraguay mencipta antara kejutan terbesar Piala Dunia 2026 selepas menyingkirkan gergasi Eropah, Jerman menerusi penentuan sepakan penalti untuk melangkah ke kelompok 16 terakhir.
Skuad kendalian Gustavo Alfaro menampilkan aksi penuh disiplin sebelum meraih kemenangan dramatik 4-3 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Paraguay terlebih dahulu membuka jaringan pada awal permainan menerusi Julio Enciso yang memanfaatkan peluang terbaik mereka untuk meletakkan pasukan Amerika Selatan itu di hadapan.
Bagaimanapun, Jerman berjaya bangkit menerusi jaringan Kai Havertz yang memastikan perlawanan berlanjutan ke masa tambahan selepas kedudukan kekal terikat hingga tamat 90 minit.
Dalam penentuan penalti, penjaga gol Paraguay, Orlando Gill muncul wira apabila melakukan dua penyelamatan penting, termasuk menafikan sepakan Jonathan Tah yang akhirnya memastikan kemenangan sensasi buat Paraguay.
Ketua jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerja keras luar biasa yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan.
“Ia perlawanan yang penuh ketegangan dari mula hingga akhir kerana kami tahu kami berdepan salah satu pencabar utama kejohanan.
“Mereka pasukan yang memiliki kualiti tinggi dan menjadi antara pilihan untuk pergi jauh,” katanya.
Menurut Alfaro, para pemain berjaya melaksanakan perancangan taktikal dengan baik terutama dalam usaha mengekang corak permainan Jerman.
Beliau berkata disiplin tinggi pemain dalam menutup ruang serta mengehadkan kreativiti lawan menjadi kunci utama kejayaan mereka.
“Pemain memahami dengan jelas apa yang diperlukan dalam perlawanan ini dan mereka memberikan segala-galanya untuk menghalang Jerman bermain mengikut rentak mereka,” katanya.
Alfaro turut mengakui faktor fizikal memainkan peranan besar dalam perlawanan itu, terutama dengan keadaan cuaca panas yang menambah cabaran buat kedua-dua pasukan.
Walaupun berdepan tekanan tinggi sepanjang perlawanan, Paraguay berjaya bertahan dengan cukup baik sebelum melengkapkan malam gemilang mereka menerusi kemenangan dramatik di penentuan penalti.