GARETH Southgate telah disenaraikan sebagai penerima gelaran ksatria yang akan dianugerahkan oleh Raja Charles atas sumbangan besarnya kepada kemajuan bola sepak England.

Menurut laporan The Athletic pada Selasa, lelaki berusia 54 tahun itu berhak menggunakan gelaran ‘Sir’ di hadapan namanya. Beliau menjadi pengurus bekas pasukan kebangsaan England keempat yang menerima gelaran tersebut selepas Sir Walter Winterbottom, Sir Bobby Robson, dan Sir Alf Ramsey.

Southgate telah membawa England ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 serta menjadi naib juara dalam dua edisi terakhir Kejohanan Eropah (Euro), tewas kepada Itali dan Sepanyol. Sepanjang kariernya sebagai pengurus, beliau mencatatkan 61 kemenangan daripada 102 perlawanan sebelum melepaskan jawatan pada Julai lalu.

“Sepanjang kerjayanya sebagai pemain, jurulatih, dan pembawa perubahan, beliau telah merealisasikan yang terbaik dalam bola sepak England.

“Sebagai salah seorang pengurus terhebat kami, pencapaian luar biasa Sir Gareth dalam empat kejohanan besar termasuk dua final Euro berturut-turut, menyamai pencapaian terbaik kami di Piala Dunia di luar tanah air dan menduduki lima pasukan terbaik dunia selama lebih lima tahun.”

“Di luar padang, beliau telah membawa para peminat lebih dekat dengan pasukan, teguh dengan pendiriannya, dan menginspirasi para pemain untuk berbangga mewakili England. Sungguh satu keistimewaan dapat mengenali lelaki dan pengurus seperti beliau,” kata Ketua Persatuan Bola Sepak England (FA), Debbie Hewitt.

Selain Ramsey yang memenangi Piala Dunia 1966, tiada pengurus England lain yang mencatatkan pencapaian seperti Southgate. Beliau juga menjadi jurulatih pertama bola sepak lelaki England yang membawa pasukan itu ke peringkat akhir sebuah kejohanan di luar tanah air (Euro 2024).

Selepas pemergian Southgate, jawatannya diambil alih oleh Lee Carsley sebagai interim untuk tiga perlawanan antarabangsa, tetapi England akan mula dilatih oleh Thomas Tuchel bermula 1 Januari 2025.