KERACUNAN makanan yang dialami Shevon Lai sejak perlawanan pusingan pertama semalam, terus menjadi duri dalam daging buat beregu campuran kesembilan dunia apabila Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terpaksa menerima kekalahan pertama kepada lawan dari Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai.
Meskipun cuba memberi saingan, keadaan Shevon ternyata tidak mengizinkan sehingga mempengaruhi rentak gandingan profesional negara itu ketika tunduk 9-21, 17-21 dalam tempoh 35 minit.
“Semua orang boleh nampak kondisi kami memang tidak berada pada tahap seratus peratus. Walaupun kami sudah bertukar taktik tetapi masih tidak berjaya,” kata Soon Huat.

Selepas ini, Soon Huat–Shevon akan menyertai kejohanan Terbuka India minggu hadapan dengan tekad untuk bangkit dan menebus kekecewaan di Terbuka Malaysia.
“Keutamaan kami sekarang adalah menjaga kondisi badan dan memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik sebelum memberi fokus kepada Terbuka India. Latihan tetap diteruskan, namun program latihan akan disesuaikan mengikut keadaan semasa,” kata Soon Huat.
Untuk rekod, ini merupakan pertemuan kedua antara kedua-dua pasangan, sekaligus menyaksikan kedudukan pertemuan terikat satu sama.