TAHAP kesiapsiagaan venue bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor kini mencapai sekitar 80 peratus, melibatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan fasiliti sukan di seluruh negeri.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata persiapan itu merangkumi kemudahan sukan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan daerah yang sedang giat melalui proses penambahbaikan bagi memenuhi standard penganjuran temasya berprestij tersebut.
Menurut beliau, dua venue utama yang kini menjalani proses naik taraf secara menyeluruh ialah Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) di Seksyen 13, Shah Alam dan Lapang Sasar Menembak Subang, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam SUKMA 2026.
“Kalau kita lihat Pusat Akuatik (PADE), kali terakhir ia digunakan untuk SUKMA adalah pada 1998 dan dibuka pada 1997, hampir 30 tahun lalu. Ini merupakan kerja naik taraf utama selepas hampir tiga dekad, melibatkan penambahbaikan dari segi kemudahan dan teknologi,” katanya.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi dan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman di Petra Jaya, semalam. (Sumber Gambar: FB SUKMA Selangor 2026).
Beliau optimis semua kerja-kerja berkaitan dapat disiapkan mengikut perancangan. “Insya-Allah, menjelang April ini, kita sasarkan semua kemudahan dan fasiliti sukan berada dalam keadaan siap sepenuhnya untuk penganjuran SUKMA 2026,” katanya.
Mohd Najwan berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Simbolik Ketibaan Obor SUKMA 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
Obor SUKMA 2026 tiba bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA, Datuk Mohd Yazid Saari, sebagai simbolik bermulanya kempen promosi dan kemeriahan penganjuran SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Sebagai sebahagian daripada kempen promosi, obor SUKMA 2026 akan dibawa menjelajah ke sembilan daerah di Selangor, sekali gus menyemarakkan keterujaan menjelang penganjuran kali kedua Selangor sebagai tuan rumah temasya dwitahunan itu.
Untuk edisi kali ini, sebanyak 474 acara melibatkan 37 jenis sukan akan dipertandingkan, manakala Para SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 14 September pula bakal mempertandingkan 10 jenis sukan.